Tuesday, 17 February 2015

Konsep Takaful Macam Mana?

Bahasa mudahnya: ~~~~
  • Bila kita sertai takaful keluarga, kita akan carum sejumlah wang ke dalam dana takaful. Anda akan memeterai perjanjian (aqad) bagi sebahagian daripada caruman anda sebagai caruman penyertaan (tabarru’) (DERMA BERTUJUAN) dan sebahagian lagi sebagai simpanan dan pelaburan.
  • Caruman dalam bentuk tabarru’ akan dimasukkan ke dalam sebuah dana (Akaun Khas Peserta atau AKP) yang akan digunakan untuk saling membantu sekiranya salah seorang peserta ditimpa musibah seperti kematian atau hilang upaya kekal. Jika anda masih hidup sehingga tarikh matang pelan tersebut, anda layak untuk berkongsi lebihan bersih daripada dana itu, jika ada.
  • Pengendali takaful akan melaburkan caruman simpanan dan pelaburan anda (Akaun Peserta atau AP) dan keuntungan akan dikongsi antara anda dan pengendali takaful berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui.

Penjelasan Lebih Mendalam ~~

Konsep Takaful mengambarkan satu rancangan perlindungan berasaskan kepada hubungan persaudaraan insan, rasa saling tanggungjawab dan saling bekerjasama di kalangan peserta.

1. Al-Qasamah
Memelihara kehilangan nyawa seseorang dalam qisas. Menurut jumhur ulama', apabila berlaku satu pembunuhan tanpa diketahui siapa pembunuhnya atau tidak ada bukti yang kukuh, maka perlulah bersumpah sebanyak lima puluh orang. Jika tidak terdapat lima pulah orang, maka orang yang berkenaan mesti bersumpah sebanyak lima puluh kali. Qasamah diwajibkan apabila tidak ada keterangan jelas tentang pembunuhnya, iaitu keterangan yang diberikan adalah lemah dan meragukan.

2. Aqilah
Di bawah sistem aqilah pula, setiap ahli masyarakat bersetuju untuk membantu ahli masyarakat yang lain jika berlaku pembunuhan secara tidak sengaja, atau untuk membayar wang tebusan bagi membebaskan tawanan perang Muslimin.

3. Tabarru
'Tabarru' bermaksud menderma secara ikhlas. Dalam konteks Takaful, semua peserta bersetuju untuk saling membantu di kalangan mereka di atas niat yang sama.Di dalam industri Takaful, At-Tabarru' yang diperkenalkan ialah Tabarru' (derma) bertujuan. Derma bertujuan diperkenalkan di mana setiap peserta yang ingin menyertai Takaful menderma sesuai dengan risiko yang dibawanya. Pengendali menetapkan kadar Tabarru' demi memastikan tabung Tabarru' yang disertai oleh semua peserta tidak terjejas bagi memberi keadilan kepda semua pihak. Ini berkonsepkan saling lindung-melindungi.Justeru itu, jika seseorang peserta membawa risiko yang besar kadar sumbangan yang mesti disumbangkan mestilah sepadan dengan risiko tersebut.

4. Al-Wakalah
Al-Wakalah bermaksud wakil-mewakili.Al -Wakalah merupakan satu perlantikan seseorang untuk mengambil tempat orang yang melantiknya bagi menguruskan sesuatu perkara yang tertentu atau pemberian kuasa kepada seseorang Wakil utuk menegur dan menjaga sesuatu perkara.Dalam konsep ini peserta sebagai satu pihak membuat akad mengizinkan pengendali untuk melabur dan menjaga serta menguruskan dana. Di atas prinsip itu juga mereka memberi kebenaran mutlak kepada pengendali untuk melantik Wakil bagi pihak mereka, jika mereka memerlukannya.Pengendali Takaful adalah dihadkan kepada menguruskan dana bagi pihak Wakil. Manakala Wakil bukan bertindak sebagai ejen kepada peserta , tetapi menjadi wakil kepada Pengendali Takaful.

5. Mudharabah
Mudharabah (Amanah Berkongsi Keuntungan) Bermaksud perjanjian berkontrak antara pemberi modal dan pengusaha untuk bertujuan menjalankan perniagaan dengan kedua-dua pihak bersetuju ke atas peraturan dan pembahagian keuntungan.Dalam kontrak Takaful, pengendali Takaful ditakrifkan sebagai pengusaha yang akan menjalankan aktiviti perniagaan, manakala peserta pula sebagai pemodal yang akan menyerahkan sumbangan mereka melalui sumbangan Takaful. Kontrak Takaful akan menetapkan pembahagian keuntungan yang akan diagihkan antara peserta dengan pengendali Takaful.



No comments:

Post a Comment